BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menganggap kejuaraan dan prestasi konsisten lebih penting berbanding kedudukan ranking dunia.
Nur Izzuddin berkata, fokus utama mereka ketika ini adalah memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap terbaik selain memburu gelaran dalam setiap kejohanan yang disertai.
Menurutnya, peningkatan ranking akan hadir secara semula jadi sekiranya mereka mampu menghasilkan keputusan yang baik secara konsisten.
“Kami lebih fokus kepada prestasi dan memenangi gelaran. Dengan cara itu, ranking akan meningkat dengan sendirinya,” katanya.
Sze Fei-Nur Izzuddin pernah mencipta sejarah apabila muncul beregu nombor satu dunia pada 27 Mei tahun lalu, namun kini menghuni ranking kesembilan dunia.
Pasangan negara itu terlepas peluang menambah koleksi kejuaraan selepas tewas kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi final Masters Malaysia 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Dalam perlawanan itu, mereka tunduk 16-21, 17-21 kepada gandingan ranking ke-18 dunia berkenaan sekali gus gagal menghadiahkan kejuaraan kepada penyokong tempatan.
Setakat ini, Sze Fei-Nur Izzuddin sudah mengumpul sembilan gelaran Jelajah Dunia sepanjang karier mereka termasuk muncul juara Indonesia Masters bertaraf Super 500 pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pasangan negara itu turut berdepan ketidaktentuan prestasi apabila tersingkir seawal pusingan pertama atau kedua dalam empat daripada lapan kejohanan yang disertai musim ini.
Meskipun begitu, mereka dilihat kembali menemui rentak apabila mara ke separuh akhir Terbuka Thailand sebelum meneruskan momentum dengan melangkah ke final Masters Malaysia.