KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti, menyuarakan perasaan campur-baur selepas kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Laos dalam perlawanan persahabatan di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok, pada Khamis.
Walaupun berjaya mencatat kemenangan, Marti mengakui bahawa prestasi pemain dalam separuh masa pertama tidak menepati sasaran akibat faktor padang yang kurang memuaskan.
Menurut Marti, keadaan padang yang licin dan berair pada awal permainan menyukarkan pasukan untuk menyesuaikan diri dan bermain mengikut corak latihan yang telah dirancang.

Syafiq Ahmad bergelut dalam mengawal bola melepasi pertahanan dan penjaga gawang laos. FOTO: FAM
“Saya rasa sedikit kecewa pada separuh masa pertama kerana kami terpaksa bermain dalam keadaan padang yang sukar. Situasi ini tidak memberi ruang kepada pasukan untuk bermain gaya permainan yang kami rancang ketika sesi latihan.
“Mungkin lebih baik jika perlawanan ditangguhkan sedikit untuk membolehkan keadaan padang menjadi lebih baik, tetapi kami terpaksa hadapinya,” katanya.
Namun begitu, Marti melihat perkembangan positif pasukan pada separuh masa kedua apabila keadaan padang mula bertambah baik. Pasukan berjaya meningkatkan penguasaan bola dan mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Pada separuh masa kedua, apabila keadaan padang bertambah baik, pasukan lebih selesa mengawal permainan.
“Kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan dalam aspek penyudah,”jelas Marti.
Dia turut mengakui kelemahan dalam penyudah pasukan, meskipun gol Malaysia diperoleh melalui situasi bola mati, seperti sepakan sudut dan penalti.
Marti menekankan bahawa pasukan perlu lebih fokus dan klinikal dalam penyudah, terutama ketika berada dalam kotak penalti.
“Kita perlu lebih kuat dan tepat dalam penyudah di kotak penalti. Walaupun kita menang, masih ada banyak peluang yang terlepas begitu sahaja,” tambahnya.
Selain itu, Marti juga menyatakan kegembiraannya terhadap pemain-pemain yang tampil buat kali pertama dalam perlawanan tersebut seperti Fazrul Amir dan Zhafri Yahya.

Zhafri Yahya antar pemain yang mendapat Debut pertamanya bersama pasukan kebangsaan. FOTO:FAM
Walaupun beberapa pemain tidak dapat turun padang kali ini, Marti percaya bahawa setiap pemain yang diberi peluang telah menunjukkan persembahan terbaik. Beliau juga memuji semangat kental pasukan lawan yang tidak mudah menyerah sehingga wisel penamat.
Marti turut berpesan kepada para pemain agar sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran seterusnya di tempat lawan.
Dengan hanya satu sesi latihan di Bangkok sebelum perlawanan seterusnya menentang India pada Isnin ini, Marti menegaskan bahawa persediaan rapi amat diperlukan.
“Cabaran menentang India pastinya sengit, terutama bermain di tempat lawan. Kami perlu benar-benar bersedia dan fokus sejak awal,” tambahnya.
Kemenangan ini jelas membuktikan peningkatan dan potensi Harimau Malaya, tetapi Marti optimis bahawa pasukan masih boleh memperbaiki beberapa aspek dalam permainan mereka menjelang pertembungan dengan India 18 November ini.