Malaysian Football League (MFL) mengesahkan keputusan perlawanan antara Penang FC dan Kuching City FC kekal, meskipun berlaku insiden melibatkan pendaftaran pemain dalam aksi Liga Super Malaysia pada 15 Mac lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meneliti laporan lengkap daripada kedua-dua pasukan serta pegawai perlawanan dalam satu mesyuarat khas yang diadakan hari ini.

Hasil siasatan mendapati berlaku kesilapan teknikal dalam penyediaan ‘Team List’ oleh Komisioner Perlawanan apabila pemain Kuching City, Scott Woods tidak ditandakan dalam senarai rasmi, walaupun telah didaftarkan dalam ‘Selection List’ sebagai pemain simpanan.

Selain itu, MFL turut mengesan kegagalan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila Komisioner Perlawanan, Koordinator Perlawanan dan Pegawai Keempat tidak menjalankan pemeriksaan pemain di bilik persalinan seperti yang ditetapkan.

Situasi tersebut menjadi lebih serius apabila pertukaran pemain pada minit 90+6 dibenarkan tanpa semakan menyeluruh terhadap ‘Team List’, sekali gus menyebabkan pemain yang tidak tersenarai secara rasmi diturunkan ke padang.

Susulan insiden itu, MFL mengesahkan berlaku pelanggaran terhadap Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan Liga Malaysia 2025–2026 yang melibatkan beberapa pihak termasuk pegawai perlawanan dan kelab.

Sehubungan itu, Kuching City dikenakan denda sebanyak RM30,000 selain menerima amaran keras atas kecuaian dalam memastikan ketepatan maklumat ‘Team List’.

Dalam masa sama, keputusan perlawanan yang menyaksikan Kuching City menewaskan Penang FC 1-0 kekal tanpa sebarang perubahan.

Bagi pegawai perlawanan, Komisioner Perlawanan digantung selama 12 bulan dengan enam bulan terakhir tertakluk kepada fasa pemulihan, manakala Koordinator Perlawanan digantung selama enam bulan. Tindakan terhadap Pegawai Keempat pula akan ditentukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MFL dalam masa sama menegaskan semua pihak termasuk pegawai perlawanan dan kelab bertanggungjawab memastikan setiap prosedur pertandingan dipatuhi, dengan sebarang kecuaian yang menjejaskan integriti liga tidak akan dikompromi.