PEMBANTU jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Miroslav Kuljanac akan dinaikkan pangkat sekali gus menggantikan posisi Nenad Bacina sebagai ketua jurulatih KL City bagi musim baharu ini.
Pelantikan jurulatih kelahiran Croatia itu telah mencapai kata sepakat oleh pihak pengurusan dan pemain The City Boys sendiri sejurus diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard pada Sabtu.
“Beliau yang mengambil alih dua perlawanan musim lepas antara coach Bojan dan coach Nenad dan kami merasakan bahawa dirinya ada kelebihan tersendiri.
“Dalam keadaan sekarang, pemain pun sudah diberi maklum dan sering saya beritahu, supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.
“Apabila KL City bermula, kita bawa coach Bojan dan juga jurulatih kedua Nenad Bacina. Jadi, jurulatih kedua ini bila-bila masa sahaja boleh menjadi jurulatih utama pasukan.
“Sama seperti Kuljanac sekarang, dia akan menjadi jurulatih nombor satu. Di situ ada kesinambungan dalam setiap pemilihan yang kita lakukan,” ujar Stanley kepada pihak media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras.
Bacina yang mengumumkan pemergiannya dari KL City pada Jumaat secara mengejut, telah meraih perhatian penyokong bola sepak tempatan terutama peminat kelab itu sendiri.
Namun, kehadiran Kuljanac ini pastinya diharapkan agar dapat menyuntik aura baharu dalam pasukan The City Boys sejurus menjulang nama mereka kembali, mungkin di peringkat Asia kelak.
Untuk rekod, Kuljanac yang bakal mengemudi pasukan KL City tahun ini pernah mengendalikan dua perlawanan pada musim lalu dan berjaya memberi dua kemenangan buat pasukan KL City.