SKUAD Harimau Malaya akhirnya merasai sendiri betapa peritnya dibelasah Vietnam apabila tewas 1-3 dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, sebentar tadi.

Jika sebelum ini kekalahan 3-0 ke atas kertas susulan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hanya tercatat di atas dokumen, kali ini skuad negara benar-benar dimalukan di atas padang oleh musuh tradisi itu.

Kekalahan itu juga menjadi tamparan besar buat ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski, yang sebelum ini belum pernah tewas secara rasmi di atas padang sejak membimbing Harimau Malaya pada awal tahun lalu.

Sebelum ini, Harimau Malaya sudah pun “kalah” menerusi keputusan 3-0 dalam tiga aksi persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin serta dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam dan Nepal susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain.

Namun, segala keputusan itu hanyalah hukuman pentadbiran. Di Nam Dinh malam ini, kekalahan yang dialami jauh lebih memeritkan kerana ia berlaku secara nyata di hadapan ribuan penyokong lawan yang meraikan kemenangan penuh bergaya.

Vietnam bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit keenam menerusi tandukan Do Duy Mạnh hasil sepakan sudut Truong Tien Anh, sekali gus meletakkan Harimau Malaya dalam tekanan sejak awal permainan.

Skuad negara cuba bangkit dan mencipta beberapa peluang termasuk menerusi Faisal Halim serta Stuart Wilkin, namun kegagalan menyudahkan peluang akhirnya mengundang padah apabila Vietnam terus menghukum kelekaan benteng negara.

Babak kedua menyaksikan Harimau Malaya terus tenggelam apabila dua lagi gol hasil tandukan Nguyen Xuan Son pada minit ke-51 dan 59 menutup rapat ruang buat skuad negara untuk kembali mencabar.

Endrick Dos Santos sekadar menghadirkan sedikit sinar apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-77, namun gol itu hanya menjadi saguhati dalam malam yang cukup memalukan buat Harimau Malaya.

Keputusan itu bukan sahaja menutup kempen kelayakan dengan kekecewaan, malah mengesahkan bahawa Vietnam bukan sekadar “menang percuma” sebelum ini, sebaliknya benar-benar membuktikan keunggulan mereka di atas padang apabila memperagakan aksi lebih tersusun, lebih tajam dan lebih berbahaya berbanding skuad negara.