JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia sah memulakan latihan pusat Piala Thomas di Akademi Badminton Malaysia bermula esok.
Kehadirannya hadir tepat pada masanya untuk memperkuatkan persiapan skuad negara menghadapi Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark.
Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengesahkan Zii Jia akan menyertai sesi tertentu terutama membabitkan perlawanan.
“Kami ada beberapa hari khusus di mana dia akan sertai latihan terutama dari segi perlawanan dan saya tidak sabar untuk menyambutnya,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurut Jonassen, pengalaman serta status pemain bertaraf dunia dimiliki Zii Jia mampu memberi manfaat besar kepada keseluruhan pasukan.

Kenneth Jonassen sahkan Lee Zii Jia akan menjalani latihan bersama di ABM bermula esok (1 April).
“Dia pemain berpengalaman dan kami akan selaraskan bersama jurulatihnya supaya semua mendapat apa yang diperlukan dalam latihan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan proses integrasi itu memerlukan masa dengan pendekatan berperingkat dan komunikasi yang jelas.
“Tiada apa bermula sempurna, kami perlu belajar dari satu sesi ke sesi seterusnya dan meningkat langkah demi langkah,” katanya sambil menegaskan kehadiran Zii Jia mampu menjadi ‘X-factor’ buat skuad negara.