PERSATUAN Bolasepak Korea Selatan (KFA) terus berdepan kritikan hebat susulan kegagalan skuad kebangsaan melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2026, dengan pengulas bola sepak terkenal Korea Selatan, Park Mun-sung mendakwa badan induk itu tidak mempunyai keupayaan mahupun kemahuan untuk melakukan pembaharuan.

Park, yang tampil dalam program YTN Newswide, menyifatkan kenyataan permohonan maaf yang dikeluarkan KFA baru-baru ini sebagai tidak ikhlas dan gagal menjawab persoalan utama mengenai pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan tersebut.

Menurutnya, kenyataan berkenaan hanya mengandungi ungkapan penyesalan secara umum tanpa menyatakan sebarang tindakan konkrit atau rombakan kepimpinan yang boleh memulihkan keyakinan penyokong.

“Saya berasa kecewa apabila membaca kenyataan itu. Mereka yang bertanggungjawab langsung tidak menyedari masalah yang berlaku dan saya tidak fikir mereka mempunyai kemampuan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Pengulas bola sepak terkenal Korea Selatan, Park Mun-sung

KFA sebelum ini memohon maaf kepada penyokong menerusi kenyataan rasmi dengan berjanji akan mengambil iktibar daripada kegagalan di Piala Dunia serta melakukan penilaian menyeluruh demi masa depan bola sepak Korea Selatan.

Dalam kenyataan sama, badan induk itu turut menolak laporan media yang disifatkan sebagai spekulasi, selain menegaskan pemilihan presiden baharu akan diteruskan mengikut perlembagaan sedia ada, yang menetapkan proses pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas jawatan presiden dikosongkan.

KFA juga memaklumkan pelantikan ketua jurulatih baharu akan diteruskan mengikut prosedur sedia ada menerusi Jawatankuasa Pengukuhan Prestasi bagi memastikan kestabilan pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, Park mempersoalkan mengapa kenyataan itu tidak menjelaskan secara khusus kesilapan yang berlaku, individu yang akan meletakkan jawatan atau langkah pembaharuan yang bakal dilaksanakan.

“Adakah terdapat walau satu ayat yang menyatakan apa kesilapan mereka, siapa yang akan berundur atau apakah tanggungjawab yang akan dipikul? Saya langsung tidak melihatnya,” katanya.

Beliau turut mendakwa penggunaan frasa seperti “mengekalkan nilai murni” dan “memelihara integriti” dalam kenyataan tersebut hanyalah alasan untuk menolak tuntutan perubahan daripada penyokong dan pihak luar.

Park juga mengkritik keputusan KFA untuk meneruskan pemilihan presiden mengikut sistem sedia ada walaupun kaedah itu sendiri sedang dipersoalkan banyak pihak, selain menyifatkan pelancaran Jawatankuasa Inovasi Bola Sepak Korea pada hari yang sama dengan kenyataan permohonan maaf sebagai sesuatu yang mengelirukan.

“Selepas membaca kenyataan itu, saya semakin yakin bahawa persatuan bola sepak ketika ini langsung tidak mempunyai kuasa atau kemahuan untuk mengubah apa-apa,” katanya.