Kredit Gambar: CHARLY TRIBALLEAU/AFP

Perancis menerima tamparan menjelang aksi suku akhir Piala Dunia apabila rayuan mereka untuk membatalkan kad kuning yang diterima pemain tengah, Michael Olise, ditolak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkembangan itu disahkan sendiri ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, yang memaklumkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi daripada FIFA, sekali gus menyaksikan Olise hanya tinggal satu kad kuning sebelum digantung satu perlawanan.

Pemain berusia 24 tahun itu dilayangkan kad kuning ketika aksi pusingan 16 terbaik menentang Paraguay selepas terbabit dalam insiden perebutan bola dengan Matias Galarza pada penghujung perlawanan.

Walaupun rakaman ulang tayang menunjukkan Olise sekadar menarik jersi lawan tanpa melakukan kekasaran serius, badan induk bola sepak dunia itu tetap mengekalkan keputusan pengadil.

“Kad kuning itu tidak berubah. Kami sudah menerima notis rasmi daripada FIFA pagi ini,” kata Deschamps.

Keputusan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kem Perancis, lebih-lebih lagi selepas FIFA sebelum ini menangguhkan hukuman penggantungan terhadap penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan terdahulu.

Kehilangan Olise sekiranya menerima satu lagi kad kuning dijangka memberi kesan besar kepada jentera serangan Les Bleus. Setakat ini, pemain itu sudah tampil dalam kesemua perlawanan Perancis di Piala Dunia 2026 dan menyumbang lima bantuan jaringan.

Mengulas aksi suku akhir menentang Maghribi, Deschamps mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan wakil Afrika itu yang disifatkan memiliki kualiti tinggi serta mampu memberi tentangan sengit.

“Maghribi bukan seperti Paraguay. Kami pernah bertemu mereka beberapa tahun lalu dan mereka juga pernah mara ke final Piala Negara-Negara Afrika.

“Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti, gemar menguasai bola dan menyerang. Kami menjangkakan satu perlawanan yang amat sukar,” katanya.

Perancis akan menentang Maghribi bagi memburu tiket ke separuh akhir, dengan pemenangnya bakal bertemu sama ada Sepanyol atau Belgium dalam satu lagi aksi yang dijangka berlangsung sengit.