KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mahu anak buahnya membuktikan kemampuan sebenar bola sepak Malaysia apabila turun menentang Buriram United pada aksi final pertama ASEAN Club Championship Shopee Cup, malam esok.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, seluruh pasukan berasa bangga dapat mewakili Selangor dan Malaysia di pentas final kejohanan berprestij Asia Tenggara tersebut.

Menurut Kim, persiapan pasukan berjalan lancar dengan semua pemain berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi penting di Stadium MBPJ.

“Kami sangat bangga dapat mewakili Selangor dan juga Malaysia di final ini. Suasana pasukan sangat baik dan kami sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang media praperlawanan.

Kim turut mengakui Selangor perlu menghormati Buriram yang dianggap antara kelab paling berjaya di Asia Tenggara berdasarkan kekuatan individu dan kolektif dimiliki pasukan Thailand itu.

Bagaimanapun, beliau percaya kelebihan beraksi di laman sendiri serta sokongan penyokong Red Giants mampu menjadi tonik tambahan buat pasukannya.

“Kami sentiasa kuat di tempat sendiri. Kehadiran Ultras dan penyokong akan mewujudkan suasana hebat untuk pemain,” katanya.

Kim dalam masa sama menegaskan Selangor tidak terlalu memikirkan kekurangan dua tonggak Buriram yang dilaporkan tidak dapat beraksi kerana percaya lawan masih mempunyai ramai pemain berkualiti.

Menurutnya, fokus utama Selangor adalah memaksimumkan kekuatan sendiri selain mengurangkan kesilapan dalam perlawanan besar seperti final.

Beliau turut memuji perkembangan dipamerkan skuad Red Giants sejak mengambil alih pasukan pertengahan musim dengan menyifatkan Selangor kini memiliki identiti menyerang serta pertahanan lebih seimbang.

“Tempat sendiri adalah kubu kami. Kami mahu mana-mana pasukan yang datang ke sini merasakan ia sukar untuk menentang Selangor,” katanya.

Kim percaya kejayaan menjulang trofi Shopee Cup bukan sahaja besar buat Selangor, malah mampu mengangkat reputasi bola sepak Malaysia di pentas Asia Tenggara.