TONGGAK Selangor FC, Hugo Boumous mengakui keterujaannya untuk beraksi di pentas final ASEAN Club Championship Shopee Cup ketika Red Giants bersedia menerima cabaran Buriram United malam esok.

Pemain yang berasal dari Maghribi itu berkata, perlawanan akhir seperti ini sentiasa menjadi impian setiap pemain terutama apabila membabitkan kejohanan peringkat Asia Tenggara.

Menurut Boumous, Selangor sedar mereka bakal berdepan cabaran sukar menentang juara Thailand itu, namun percaya pasukannya sudah melakukan persiapan terbaik.

“Sebagai pemain, kita sentiasa mahu bermain dalam perlawanan seperti ini, lebih-lebih lagi di pentas benua. Kami akan menentang pasukan yang sangat bagus dan ia satu cabaran besar buat kami,” katanya.

Boumous turut mendedahkan Selangor sudah melakukan analisis terperinci terhadap corak permainan Buriram bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi aksi final tersebut.

Katanya, pasukan kejurulatihan sudah menyediakan pelan permainan khusus dan sesi latihan terakhir akan digunakan untuk memperkemaskan lagi persiapan.

Pemain tengah kreatif itu juga percaya pengalaman menewaskan Nam Dinh FC di separuh akhir memberi keyakinan tambahan kepada Selangor menjelang aksi final.

Menurutnya, kemenangan tersebut membuktikan Selangor mampu tampil lebih klinikal dalam aspek serangan dan pertahanan apabila berdepan pasukan berkualiti.

“Menentang Nam Dinh, kami sangat solid secara taktikal. Kami tidak memberi banyak ruang kepada mereka dan saya rasa mentaliti itu perlu kami bawa ke final,” katanya.

Dalam masa sama, Boumous mengakui aksi di hadapan stadium penuh memberi motivasi tambahan kepada pemain terutama dalam perlawanan besar seperti final.

Beliau berharap penyokong Selangor dapat terus berdiri bersama pasukan untuk membantu Red Giants memburu trofi penting di pentas Asia Tenggara.

“Saya harap kita dapat bersama-sama sebagai satu pasukan untuk Selangor dan Malaysia demi menjulang trofi ini,” katanya.