PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2025 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), pagi tadi.
Pengiktirafan itu menyaksikan mereka muncul pasangan beregu campuran pertama negara meraih anugerah paling berprestij dalam arena sukan tanah air.
Kejayaan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas Tang Jie dan Ee Wei turut dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS 2025, sekali gus melengkapkan minggu penuh gemilang buat pasangan nombor satu negara itu.
Prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun lalu menjadi faktor utama pemilihan apabila berjaya mencipta sejarah sebagai beregu campuran pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Dunia BWF.
Dalam kategori Olahragawan Kebangsaan, Tang Jie mengetepikan cabaran beberapa atlet lain termasuk jaguh wushu, Si Shin Peng, pemain tenpin boling Muhammad Rafiq Ismail, atlet silat Muhammad Khairi Abib Azhar serta atlet bina badan Abdul Aziz Ahmad.
Ee Wei pula mengatasi saingan sengit daripada ratu wushu Tan Cheong Min, atlet tenpin boling Natasha Mohamed Roslan serta pemain boling padang Emma Firyana Saroji dan Pang Pui Yee.
Sementara itu, anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan menjadi milik atlet para berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin selepas menewaskan jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin dan ikon olahraga para negara Abdul Latif Romly.
Bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula, atlet para renang Lim Carmen dipilih sebagai pemenang selepas mengatasi Jariah Zakaria dan Parameswary Kashinathan.
Dalam kategori berpasukan, skuad sepak takraw negara memenangi Anugerah Pasukan Lelaki manakala pasukan wushu diumumkan sebagai penerima Anugerah Pasukan Wanita.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan setiap pemenang kategori utama membawa pulang trofi, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai RM20,000.