PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) meraikan warga kerjanya dengan penganjuran Hari Keluarga FAM 2022 yang telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Paling mencuri tumpuan, barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya diketuai oleh Kim Pan Gon memakai kain pelikat untuk acara bola sepak.
Selain itu, acara tarik tali, bola keranjang kampung, boling kampung, lari dalam guni dan menganyam ketupat yang membabitkan peserta dewasa lelaki dan wanita serta juga acara-acara bagi kanak-kanak turut diadakan.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin hadir sama menyertai dan menyaksikan acara-acara yang disusun sepanjang program hari keluarga tersebut.
Selepas kali terakhir diadakan pada 2016, program edisi kali ini membabitkan penyertaan daripada kakitangan FAM, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya berserta ahli-ahli keluarga masing-masing.