PIHAK pengurusan Terengganu FC (TFC) mengambil pendekatan harmoni buat masa ini berhubung kemelut melibatkan ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, satu sidang akhbar khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar isu terbabit.
“Saya harap penyokong tidak membuat spekulasi yang boleh menyebabkan keadaan semakin keruh antara pihak pengurusan dan kejurulatihan.
“Ini membabitkan keharmonian pasukan, dan kita akan buat sidang media, sehari dua ini untuk menjernihkan suasana,” jelasnya yang ditemui di pejabat TFC di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Nafuzi terkilan dengan pengurusan TFC
Nafuzi pada Sabtu melahirkan rasa kecewa dan mendakwa pihak pengurusan TFC bersikap tidak profesional dengan layanan terhadapnya sebagai ketua jurulatih Sang Penyu.
Jelasnya, tiada sebarang komunikasi dua hala antara kedua-dua pihak terutama berhubung tawaran lanjutan kontrak yang disifatkannya seperti melepaskan batuk di tangga.
Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata demikian setelah kemenangan TFC 4-1 secara agregat ke atas KL City FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia, semalam.