JURULATIH Selangor FC,  Katsuhito Kinoshi  menyatakan kepuasan terhadap prestasi pasukan dalam perlawanan separuh akhir kedua MFL Challenge Cup, walaupun mengakui terdapat kelemahan pada separuh masa pertama.

Malah, dia turut memuji pasukan dalam bertahan menghadapi pasukan lawan yang agresif dan banyak menggunakan hantaran jauh.

“Separuh masa pertama tidak begitu baik, tetapi pada separuh masa kedua, kami berjaya bangkit dan menjaringkan gol pertama. Namun, di penghujung perlawanan, ada detik yang mendebarkan.

“Mereka bermain dengan corak bola panjang ke arah penyerang, jadi ia agak sukar untuk kami. Tetapi pemain berjaya bertahan dengan baik dan menghalang bola daripada memasuki gawang,” katanya selepas perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Dalam aksi  yang dihadiri 3,310 penonton, Red Giants melangkah ke pentas final selepas menang 2-0 secara agregat ke atas Penang FC.

Pengendali asal Jepun itu juga menegaskan kepentingan mengekalkan momentum kemenangan dan tidak terlalu yakin walaupun pasukan belum tewas dalam lapan perlawanan terakhir.

“Dalam bola sepak, prestasi boleh turun naik. Kami belum tewas, tetapi kami tidak boleh terlalu yakin. Keyakinan itu perlu ada, tetapi jangan berlebihan,” katanya.

Merah Kuning kini mengalih tumpuan baki Liga Super melayan kunjungan Sri Pahang FC  pada 8 Februari ini.

FOTO : SELANGOR FC