FOTO : PENANG FC

PETALING Jaya menjadi saksi perbezaan ketara yang memisahkan pemenang dan yang tewas dalam separuh akhir kedua MFL Challenge Cup 2024-25, di mana Selangor FC menundukkan Penang FC pada Ahad.

Bagi pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, keputusan agregat 2-0 yang memihak kepada The Red Giants mencerminkan satu hakikat yang tidak boleh disangkal – kualiti adalah pemisah utama di pentas tertinggi.

“Pemain saya telah berjuang hingga ke minit akhir, dan saya amat berpuas hati dengan komitmen mereka. Namun, dalam perlawanan sebegini, perbezaan kualiti akan menentukan siapa yang mara dan siapa yang tersingkir,” kata Wan Rohaimi selepas perlawanan.

Selangor yang diperkuatkan dengan pemain berstatus bintang memanfaatkan kelebihan mereka dengan jaringan Alvin Fortes pada minit ke-66, sekali gus memastikan kemaraan mereka ke final selepas menang 1-0 di separuh akhir pertama di Stadium Bandaraya.

Gol sendiri kapten Penang, Rafael Vitor, dalam perlawanan pertama turut menjadi faktor penting dalam keputusan agregat ini.

“Kami mengimbangi perlawanan dengan baik pada separuh masa pertama dan mencipta lebih banyak peluang berbanding Selangor. Namun, kegagalan menyudahkan peluang tersebut menjadi pemisah besar antara kedua-dua pasukan,” tambahnya.

Wan Rohaimi turut memuji penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz, yang tampil cemerlang untuk mengekang serangan Penang.

“Pengalaman juga memainkan peranan besar dalam perlawanan ini. Jika peluang yang dimiliki Akid Zamri jatuh kepada pemain berpengalaman seperti Ifedayo Olusegun atau Romel Morales, mungkin hasilnya berbeza,” jelasnya lagi.

Namun, dia tetap optimis bahawa pengalaman ini akan menjadi pengajaran berguna buat skuadnya, terutama pemain muda seperti Akid, yang masih mempunyai ruang besar untuk berkembang dan menjadi lebih matang di masa hadapan.

Dengan keputusan ini, Selangor FC mara ke final, manakala Penang FC harus kembali ke papan strategi untuk memperbaiki kelemahan dan membina skuad lebih mantap untuk cabaran akan datang.