KEHANGATAN dan aura final Piala Malaysia 2022 sememangnya terasa meskipun berlangsung serentak dengan kejohanan Piala Dunia FIFA Qatar dan ini terbukti menerusi kehadiran penyokong di stadium dan juga angka siaran langsung di internet.

Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC sememangnya mempunyai set penyokong setia yang akan hadir ke stadium dan sebanyak 79,988 orang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi saksi kejuaraan Harimau Selatan.

Meskipun perlawanan Piala Dunia antara Poland dan Arab Saudi berlangsung serentak, namun ianya tidak menjejaskan keseluruhan jumlah terhadap final Piala Malaysia apabila 3 juta tontonan dicatatkan menerusi siaran langsung di saluran YouTube unifi dan tidak termasuk angka tontonan di saluran unifi TV, Sukan RTM dan TV Okey.

3 juta saksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di YouTube unifi

Tinjauan FLASH SUKAN di venue juga dapat melihat kemeriahan di sekitar stadium dengan para penaja juga berpuas hati dengan penglibatan penyokong di ‘booth’ aktiviti yang membantu menaikkan jenama mereka menerusi penajaan ini.

Nilai komersil bola sepak tempatan semakin meningkat sejak arena bola sepak kembali pulih secara berperingkat pasca pandemik Covid-19 dan final pada Sabtu adalah jawapan kepadanya.

Kehadiran di stadium, siaran langsung yang ditonton jutaan penonton juga adalah indikator utama bahawa Liga Malaysia mempunyai peminat tersendiri dan semakin berkembang dari hari ke hari.

Sebahagian daripada penyokong JDT

Dengan kejayaan tiga kelab beraksi di peringkat Asia, kini Liga Malaysia adalah liga terbaik di Asia Tenggara dan perkara ini harus digunakan oleh pengelola liga untuk meningkatkan lagi nilai komersil dan memberi keyakinan kepada para penaja yang ada dan juga berpotensi.

Tamat sudah musim 2022 yang gemilang dan dengan pengstrukturan semula Liga Super tahun hadapan, sudah pasti angka-angka yang diperolehi tahun ini dapat ditingkatkan untuk musim 2023.