SERAMAI 23 pengadil tempatan telah dipilih oleh Panel Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun 2025 ini.

Menerusi senarai yang telah dikeluarkan oleh FIFA, pengadil dari Malaysia itu terdiri daripada tujuh pengadil (termasuk seorang wanita); 10 penolong pengadil (termasuk dua wanita); empat pengadil futsal (termasuk seorang wanita); dan dua pengadil bola sepak pantai.

Simbolik penyerahan lencana Pengadil FIFA tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM kepada pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, yang merupakan Pengadil FIFA sejak tahun 2020.

Yang turut menerima lencana tersebut daripada Sivasundaram ialah empat pengadil futsal, iaitu Helday Idang, Norafendy Norhayalan, Faiz Jamaluddin, dan Atikah Janah, serta dua pengadil bola sepak pantai, Amirul Aizat Lodin dan Syahir Shaharul Nizam.

Selain itu, seorang lagi pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin, yang merupakan Pengadil FIFA sejak tahun 2016 serta calon pengadil Piala Dunia 2026, telah menerima lencana berkenaan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Majlis penyerahan lencana ini merupakan satu penghormatan kepada para pengadil tempatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dengan pengiktirafan ini, mereka dijangka terus membawa mutu pengadilan Malaysia ke peringkat lebih tinggi serta berpeluang mengadili perlawanan di kejohanan besar seperti Piala Asia, Liga Juara-Juara AFC, dan kejohanan FIFA.

Dalam pada itu, FAM terus komited untuk memperkasakan pembangunan pengadil di Malaysia dengan memberikan latihan dan pendedahan yang lebih luas kepada barisan pengadil muda.

Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pengadil tempatan untuk melakar nama di pentas antarabangsa.