KELAB Kuala Lumpur Rovers dilaporkan semakin hampir menjadi salah satu pasukan dari Liga MBSB Bank Championship yang akan beraksi di musim baharu Liga Super selepas mendapat tajaan dari syarikat swasta.

Menurut sumber dalaman kelab, naib juara Liga MBSB Bank Championship 2023 itu kini dalam proses akhir untuk melengkapkan penyertaan mereka selepas Malaysian Football League (MFL) memberikan lesen luar biasa kepada pasukan dari liga tier kedua Malaysia itu.

Jika mendapat kelulusan dari MFL, maka KL Rovers dilihat bakal mengisi slot yang ditinggalkan Kelantan FC selepas tidak menerima lesen kebangsaan akibat kegagalan melunaskan tunggakan gaji sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menyatakan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menyokong pasukan dari Liga MBSB Bank Championship bermain di Liga Super kerana jika benar mereka layak, mereka berhak untuk bersaing.

“Bagi pihak AFL kami menyokong kerana walaupun pasukan yang beraksi di liga kita ini adalah semi pro tetapi mereka mempunyai kualiti seperti pengurusan serta kewangan dan saya lihat perkara itu adalah perkara yang baik” katanya.

KL Rovers juga dijangka akan mendapatkan khidmat barisan kejurulatihan baharu bagi memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh MFL dengan pengumuman berkaitan perkara ini akan diumumkan pada satu tarikh.

Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad

Mereka juga dijangka akan menggunakan ramai bakat-bakat tempatan serta pemain import bagi memastikan kewangan pasukan berada pada tahap terbaik dan tidak berlaku masalah tunggakan gaji pada masa akan datang.

Perkara ini adalah satu perkhabaran positif buat Liga Malaysia kerana akan ada satu tambahan pasukan sekali gus menambah kualiti dan nilai komersil liga.