NEGERI Sembilan Football Club (NSFC) memulakan kempen Liga Malaysia 2025/2026 lebih awal dengan menandatangani perjanjian penajaan bersama syarikat pengeluar pakaian sukan dari Thailand, Warrix, yang membabitkan penajaan kit rasmi.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diadakan di Warrix Flagship Store, Siam Square, Bangkok.
Ia dihadiri oleh Pengerusi NSFC merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), YTM KOL (K) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden PBNS, Datuk Mustapha Nagoor.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif WARRIX, Wisan Wanasaksrisakul, Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus serta Pengarah Universal Sports Sdn. Bhd., Tan Peng Koon, yang merupakan pengedar rasmi jenama WARRIX di Malaysia.
Di bawah perjanjian penajaan ini, Warrix muncul sebagai rakan teknikal rasmi selama dua tahun, iaitu untuk musim 2025/2026 dan 2026/2027.

Faliq (kiri) berjabat tangan dengan Wisan Wanasaksrisakul selepas sesi menandatangani perjanjian di Bangkok.
Penajaan berjumlah RM1.7 juta ini merangkumi skuad utama, B-23, B-20 dan B-18 yang akan memulakan saingan tidak lama lagi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, jalinan kerjasama ini adalah salah satu manifestasi kelab untuk menaikkan nilai komersial, selain menjadi suntikan semangat untuk terus berdaya saing di dalam industri bola sepak tanah air.
“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja membabitkan penajaan kit rasmi pasukan, malah turut memberikan manfaat dari segi pemasaran dan komersial yang amat diperlukan untuk kita terus berdaya saing dalam arena bola sepak tempatan yang kian mencabar.
“Pemilihan Warrix sebagai penaja kit rasmi juga seiring dengan matlamat kelab untuk memperkasa pembangunan perniagaan, yang juga merupakan salah satu daripada enam teras pembangunan semula kelab,” katanya lagi.
NSFC akan tampil dengan jersi yang menggunakan kombinasi warna kebanggaan Negeri Sembilan, iaitu merah, kuning dan hitam bagi jersi utama dan kedua. Selain itu, jersi ketiga juga akan kembali diperkenalkan untuk musim akan datang.
Sebagai rekod, selain NSFC, Warrix juga merupakan penaja rasmi bagi pasukan Phnom Penh Crown FC dari Kemboja, Tampines Rovers dari Singapura, serta pasukan kebangsaan Thailand.
FOTO : NSFC