WAKIL perseorangan lelaki negara, di Msters Korea, Leong Jun Hao boleh bersedia dengan lebih baik di suku akhir selepas hanya menamatkan set pertama ketika menentang pemain Finland, Kalle Koljonen sebelum wakil Eropah itu menarik diri di set kedua.
Selepas mencatat kemenangan 21-16 di set pertama, Jun Hao yang meraih kejuaraan Masters Kuala Lumpur hujung minggu lalu, dinobatkan pemenang selepas Koljonen menarik diri ketika ketinggalan 0-3 di set kedua akibat kecederaan.

Leong Jun Hao mara ke suku akhir Masters Korea
Menanti pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, Lei Lan Xi dari China yang sebelumnya mengalahkan wakil Jepun, Riku Hatano 21-13, 21-12.
Turut mengiringi Jun Hao ke suku akhir ialah pemain profesional, Soong Joo Ven yang mengatasi wakil tuan rumah, Jeon Hyeok Jin dengan mencatat kemenangan 7-21, 21-14, 21-17.
Bagaimanapun, Joo Ven bakal berdepan cabaran getir esok apabila dijadual menentang bekas pemain nombor satu dunia, Kento Momota yang mengalahkan wakil Jerman, Kai Schaefer 21-17, 21-16.

Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mara ke suku akhir Masters Korea.
Beregu lelaki negara yang juga pilihan kelima, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mara ke suku akhir apabila mengalahkan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Yang Ming-Tse 21-14, 21-18.
Mereka akan berdepan wakil tuan rumah, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae selepas pilihan utama itu mengalahkan satu lagi pasangan negara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-18, 21-9.