MUNCUL harapan tunggal negara di separuh akhir Terbuka Malaysia 2026, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mahu tunduk kepada tekanan sehingga boleh menjejaskan fokus untuk ke final.

Malah, pasangan nombor dua dunia itu enggan memikirkan terlalu jauh sehinggakan mahu menamatkan kemarau gelaran sejak kali terakhir Datuk Seri Lee Chong Wei memenanginya pada 2018.

“Saya rasa kami hanya mahu mengekalkan momentum ini. Sudah tentu kami gembira apabila kami dapat bermain dengan baik, tetapi kami mahu terus konsisten dalam setiap perlawanan.

“Memandangkan hanya tinggal kami sahaja sekarang, ia bukanlah satu tekanan. Kami hanya perlu terus fokus dan menjalankan tanggungjawab kami sebagai pemain senior dalam pasukan. Kami akan buat yang terbaik dan berharap esok kami dapat memenangi perlawanan,” kata Wooi Yik, selepas dia dan Aaron mengatasi Sabar Karyaman-Moh Reza Pahlevi dari Indonesia, 21-19, 21-10 dalam masa 34 minit.

Aksi di Axiata Arena itu bergegar dengan sorakan padu penyokong, terutamanya selepas dua wakil suku akhir negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun gugur kepada lawan masing-masing.

Kemenangan itu membolehkan Aaron-Wooi Yik mengecilkan rekod pertemuan kepada 2 kemenangan daripada enam pertemuan.

Esok satu lagi lawan getir menanti, iaitu jaguh Indonesia, Fajar Alfian-Mohammad Sohibul Fikri yang mengatasi Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Untuk rekod, Fajar-Shohibul menang dua kali daripada tiga pertemuan. Kali terakhir Malaysia menjualang kejuaraan beregu pula pada 2014 menerusi pasangan Goh V Shem-Lim Khim Wah.