KUALA Lumpur City FC akhirnya berjaya memecahkan badi kemenangan selepas enam perlawanan Liga Super apabila menundukkan Sabah FC 2-0 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Jaringan T. Saravanan pada babak pertama dan Sean Gan Gianneli pada penghujung permainan cukup untuk memberikan tiga mata berharga buat anak-anak buah Bojan Hodak sekaligus memberikan kekalahan kedua berturut-turut buat Sabah.

KL City yang turun tanpa beberapa tonggak utama ekoran kecederaan berjaya memberikan tekanan dari awal perlawanan ketika Sabah masih tercari-cari rentak untuk menyesuaikan diri.

 

Sabah juga turun tanpa kapten, Park Tae-su yang digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning dan ketiadaannya dilihat memberikan kesan kepada persembahan pasukan.

Kuala Lumpur City berjaya dihadapan pada minit ke-15 selepas Saravanan bijak membaca bola hantaran dari tengah padang dan dia dengan mudah menyungkit bola melepasi penjaga gol Sabah, Damien Lim untuk memberikan kelebihan awal buat KL City.

Barisan kendalian Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit selepas itu dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya namun digagalkan kekentalan dan disiplin barisan pertahanan KL City.

Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pasukan pada babak kedua dengan Sabah dilihat lebih banyak mengasak namun dihampakan penyudah yang kurang menyengat sekaligus mengecewakan 1,194 penyokong hadir dengan majoritinya penyokong skuad Badak.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, hantaran Herlison Caion berjaya menemui Sean Gan dalam petak penalti dan dia bijak melorongkan bola ke dalam gawang untuk keputusan muktamad 2-0 memihak KL City.

Kuala Lumpur City akhirnya beroleh kemenangan pertama dan melonjak ke tangga kesembilan liga manakala Sabah jatuh ke tangga kelima selepas dua kekalahan berturut-turut di laman lawan.