KHABAR gembira untuk semua peminat sukan tanah air apabila Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 akan mula ditayangkan di platform MYTV Mana Mana, membolehkan para peminat menyaksikan perlawanan secara percuma.
Ini merupakan langkah besar dalam mempromosikan sukan bola sepak tempatan dan menyediakan akses yang lebih luas kepada penggemar sukan.
Dengan kerjasama ini, peminat bola sepak tidak lagi perlu risau tentang bayaran untuk menyaksikan perlawanan kegemaran mereka.
Perlawanan Liga A1 Semi Pro yang terpilih akan disiarkan secara langsung di platform MYTV, memberikan pengalaman menonton yang berkualiti tinggi tanpa sebarang kos.
Ini bermakna peminat hanya perlu memuat turun aplikasi MYTV untuk menikmati siaran langsung perlawanan.
Dengan menyiarkan perlawanan secara percuma, MYTV bukan sahaja memudahkan peminat untuk menonton perlawanan tetapi juga menyokong pembangunan sukan bola sepak tempatan.
Lebih ramai peminat dapat mengikuti perjalanan pasukan kegemaran mereka, sekali gus meningkatkan sokongan dan semangat kepada pemain serta kelab.

Carian FLASH SUKAN dapati sebanyak tiga perlawanan, PIB Shah Alam lwn Melaka FC, UiTM United lwn Imigresen FC dan Kuala Lumpur Rovers lwn Armed Forces FC ditayangkan secara langsung bagi aksi minggu pertama.
Jangan lepaskan peluang ini! Muat turun aplikasi MYTV hari ini dan nikmati perlawanan Liga A1 Semi Pro secara percuma. Mari bersama-sama menyokong perkembangan sukan bola sepak tempatan dan menikmati setiap detik aksi di atas padang.
Musim ini saingan Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25 diteruskan dengan penyertaan sebanyak 15 pasukan.