SKUAD Penang FC membuat pengumuman menerusi laman sosial rasmi kelab melepaskan dua pemain import dari pasukan atas persetujuan bersama di antara kelab dan kedua-dua pemain sebelum liga kembali bersambung pada 19 Mei 2023.
Dua pemain itu, Curt Dizon dan Ahn Sae-hee dilepaskan selepas dibawa masuk semasa jendela perpindahan pertama pada Disember 2022 namun gagal memberikan impak kepada persembahan pasukan Harimau Kumbang.
Curt Dizon, pemain Filipina yang dibawa masuk dari kelab United City adalah bekas pelatih skuad remaja Crystal Palace dan mempunyai 19 penampilan dengan skuad kebangsaan Filipina namun dia hanya sempat beraksi dalam satu penampilan sahaja bersama Harimau Kumbang.
Manakala pertahanan Korea Selatan, Ahn Sae-hee pula yang dibawa masuk dari kelab Vietnam Hoang Anh Gia Lai hanya berjaya melalukan satu penampilan ketika perlawanan pra musim menentang Manjung City FC.
Dengan pengguguran dua pemain import ini, Penang FC kini mempunyai dua slot kuota Asia dan Asean yang dikosongkan dan mungkin akan diisi oleh pemain baharu pada jendela perpindahan kedua pada Julai nanti.
Tujuh pemain import yang masih menyarung jersi keramat Harimau Kumbang adalah Rafael Vitor, Giovanni Gomez, Soony Saad, Adriano, Zaw Min Tun, Ousmane Fane dan Ryu Yamaguchi.
Skuad bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid kini berada pada prestasi baik apabila memenangi tiga perlawanan Liga Super berturut-turut dan juga layak ke peringkat 16 terbaik Piala FA