TIKET bagi menonton perlawanan badminton Terbuka Malaysia PETRONAS 2023 akan mula dijual Isnin ini.

Tiket bagi kejohanan yang dinaiktaraf kepada Super 1,000 itu, dijual awal sebulan daripada tarikh kejohanan bermula, bagi memudahkan peminat badminton tanah air membuat perancangan awal.

Kenny Goh minta peminat membuat pembelian awal secara atas talian.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk’ Kenny Goh berkata, peminat pasti manantikan saat ini selepas sambutan luar bisa diterima pada edisi tahun ini.

“Berdasarkan sambutan menakjubkan tahun ini, saingan Terbuka Malaysia tahun hadapan lebih hebat dan mendebarkan dengan kehadiran pemain-pemain terbaik dunia,” kata Kenny, dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik pasti menjadi perhatian termasuk gandingan terbaik wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang disandar harapan pada kejohanan itu nanti.

Beliau berkata, tiket boleh dibeli secara atas talian di https://my.bookmyshow.com/e/PMO23JAN  pada 5 Disember ini bermula jam 11 pagi.

Harga tiket bermula dari RM40 dan peminat badminton tanah air diminta membuat pembelian awal bagi mengelakkan isu kegagalan mendapatkan tiket.