BEKAS kapten kebangsaan dan pemain pertahanan Melaka United, Mohamad Razman Roslan akui pernah turut serta dalam Kejohanan Liga Penalti seperti yang diadakan kali ini serta menyifatkan biarpun kelihatan mudah namun ianya tetap menguji kekuatan mental pemain ketika ingin mengambil sepakan penalti.

“Saya pernah beberapa kali turut serta secara suka-suka sebenarnya untuk mengisi masa lapang. Bagi saya bukan senang meskipun bergelar pemain profesional, ia tetap menguji kekuatan mental,” ujarnya ketika sidang media Pelancaran Liga Penalti Malaysia di Manipal University, Nilai.

Jelasnya, penalti adalah lebih kepada aspek teknikal dalam melakukan tendangan dan berbeza dari sukan bola sepak secara amnya.

Namun, sebagai permulaan, ia merupakan langkah terbaik untuk menarik minat warga belia yang ingin melibatkan diri secara serius dalam sukan bola sepak.

“Penalti lebih kepada teknik tetapi untuk meminat secara mula, yang lebih menarik apabila hadiah wang tunai diberikan, ia merupakan sesuatu yang menarik untuk mereka yang baru ingin bermula dengan bola sepak,” katanya.

Tambah Razman, sebagai seorang pemain professional, dia menyokong penuh pasukan Manipal United yang dibarisi barisan wakil berpendidikan yang mempunyai minat mendalam dan ingin melihat bakat-bakat terpendam diserlahkan melalui kejohanan sebegini.

“Saya memberi sokongan yang penuh kepada pasukan Manipal United ini kerana saya melihat barisan pengurusan dengan profesor dan naib canselor memberi sokongan penuh kepada pasukan bola sepak Manipal United dan harap mampu melahirkan pemain negara yang berbakat dan beraksi pada tahap tertinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan  (PBNS), Datuk Hamdan Othman turut menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad bola sepak Negeri Sembilan FC setelah berjaya menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat musim ini.

Dengan adanya memorandum persefahaman(MOU) antara Negeri Sembilan FC dan UITM Seremban 3, diharap ia dapat menaikkan kegemilangan pasukan Negeri Sembilan dan pemain UITM.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas kepada pasukan Negeri Sembilan kerana telah menduduki tempat keempat dalam Liga Super dan kita telah mengadakan MOU bersama dengan pihak UITM Seremban 3 untuk mengadakan kerjasama yang dilancarkan oleh Presiden Bola Sepak Negeri Sembilan FC, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pemain Negeri Sembilan FC kerana menjalanlan kerjasama bersama UITM Seremban 3,” kongsinya.

Kejohanan ini menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM138,600 melibatkan seluruh negara  bermula November 2022 sehingga Februari 2023.

Jelajah Liga Penalti Malaysia ini membabitkan 14 lokasi di seluruh Malaysia dan peringkat akhir akan diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Februari 2023.

Juara Penalti bakal membawa pulang wang tunai RM50 000 diikuti RM 10 000 di tempat kedua dan RM 5000 di tempat ketiga.

Manakala, peringkat negeri, juara membawa pulang RM3,000, diikuti RM1,000 di tempat kedua, ketiga dengan RM500, keempat sebanyak RM400 selain satu cabutan bertuah menawarkan hadiah utama Motor Yamaha NVX 2022 dan tempat  kedua Honda RS-X 2022.