Real Madrid’s English midfielder #05 Jude Bellingham fights for the ball with Barcelona’s Spanish midfielder #08 Pedri and Barcelona’s Spanish midfielder #06 Pablo Gavi during the Spanish league football match between FC Barcelona and Real Madrid CF at Camp Nou Stadium in Barcelona on May 10, 2026. (Photo by Josep LAGO / AFP)

Pengendali Real Madrid CF, Alvaro Arbeloa mengakui pasukannya perlu menerima kekecewaan serta kemarahan penyokong selepas gagal menghadiahkan sebarang trofi musim ini.

Kekalahan 0-2 kepada musuh tradisi, FC Barcelona dalam aksi El Clasico di Camp Nou awal pagi tadi bukan sahaja menyaksikan Real tumbang, malah mengesahkan kejuaraan La Liga menjadi milik Barcelona.

Keputusan itu menutup musim yang cukup sukar buat skuad Los Blancos selepas turut tersingkir lebih awal dalam saingan Liga Juara-Juara dan gagal memberi saingan konsisten di pentas domestik.

Arbeloa berkata beliau memahami reaksi penyokong yang kecewa dengan prestasi pasukan sepanjang kempen kali ini.

“Kami faham perasaan marah dan kecewa penyokong kerana musim ini tidak berjalan seperti yang diharapkan.

“Apa yang boleh kami lakukan sekarang adalah terus bekerja keras, belajar daripada kesilapan dan memastikan pasukan kembali lebih kuat selepas ini,” katanya.

Menurut beliau, Real Madrid memiliki sejarah besar sebagai kelab yang sentiasa mampu bangkit selepas melalui tempoh sukar.

“Kelab ini sudah banyak kali melalui saat sukar dan kembali bangkit. Kami perlu jadikan pengalaman musim ini sebagai pengajaran untuk masa depan,” katanya lagi.

Musim Real Madrid sebelum ini turut dihimpit pelbagai isu termasuk penyingkiran di suku akhir Liga Juara-Juara serta laporan ketegangan dalam kem pasukan membabitkan beberapa pemain utama.

Bagaimanapun, Arbeloa enggan menjadikan situasi itu sebagai alasan terhadap kegagalan pasukan meraih trofi musim ini.

Beliau turut menegaskan baki tiga perlawanan liga tetap penting dan mahu pemain menamatkan musim dengan penuh profesionalisme.

“Walaupun perebutan kejuaraan sudah berakhir, kami masih membawa nama besar Real Madrid setiap kali turun beraksi. Kami perlu menutup musim ini dengan kemenangan,” katanya.

Mengulas kemungkinan rombakan besar dilakukan musim depan, Arbeloa percaya skuad sedia ada masih memiliki kualiti untuk kembali bersaing di peringkat tertinggi.

“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti tinggi. Sudah tentu kelab sentiasa mahu memperkuatkan pasukan, tetapi saya yakin dengan kemampuan pemain yang ada,” ujarnya.

Mengenai kedudukannya bersama Real Madrid musim depan, Arbeloa memaklumkan perkara itu akan dibincangkan bersama pihak pengurusan selepas tamat saingan musim ini.