KEMASUKAN Litar Karting Antarabangsa LYL dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025, membuka lembaran baharu kepada penganjuran perlumbaan malam, sekali gus menjanjikan pembaharuan dalam sukan permotoran tempatan.
Litar serba baharu yang dilengkapi lampu limpah dan fasiliti moden itu, berpotensi menjadi lokasi pertama bagi perlumbaan Cub Prix waktu malam.
Promoter kejohanan, Safe Aim Mutual (SAM), menyatakan hasrat untuk menjadikan perlumbaan malam dijangka menjadi realiti pada musim depan.

Litar Antarabangsa Karting LYL terletak di Sungai Long, Kajang
Namun, Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg berkata, perancangan tersebut belum dapat direalisasikan bagi musim 2025 kerana masih terdapat beberapa perkara teknikal dan logistik yang perlu diteliti.
“Kita memang ada perancangan, tetapi bukan untuk musim ini. Kami sudah berbincang dengan pihak kementerian dan ada beberapa kebimbangan dari aspek persekitaran, bukan perlumbaan semata-mata,” kata Ron ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kejuaraan Cub Prix 2025 di Litar Karting Antarabangsa LYL, hari ini.
Beliau menambah, perlumbaan musim ini akan dijadikan medan percubaan bagi menilai kesesuaian dan keselamatan penganjuran pada waktu malam, terutama melibatkan kehadiran penonton dan aspek teknikal.

Majlis Pelancaran Kejuaraan Cub Prix 2025 diadakan di Litar Karting Antarabangsa LYL
“Tahun ini tak mungkin… itu pasti. Kita perlukan lebih banyak masa untuk memastikan semuanya berjalan lancar dan selamat sebelum dimuktamadkan… harapnya tahun depan dapat direalisasikan.”
Musim 2025 bakal menyaksikan 10 pusingan perlumbaan, termasuk di beberapa litar tetap seperti Litar Antarabangsa Sepang, Litar Tangkak dan Litar Permotoran Terengganu.
Aksi pembuka tirai akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) dari 19 hingga 20 April, manakala Litar Karting Antarabangsa LYL akan menganjurkan Pusingan Ketiga sekitar pertengahan Jun.