OLAHRAGA Malaysia (MA) mendapat mandat untuk menggunakan khidmat jurulatih baharu, selepas Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan pelantikan enam jurulatih seperti yang dipohon badan itu.

Lampu hijau dari MSN itu, bermakna MA boleh mula melakukan persiapan buat skuad olahraga negara menuju Temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan rasmi antara Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, dengan Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang berlangsung di ibu pejabat MSN hari ini.

Pelantikan ini melibatkan gabungan kepakaran dari dalam dan luar negara, membabitkan tiga jurulatih tempatan dan tiga jurulatih luar, yang masing-masing akan memperkukuh disiplin seperti acara pecut, lontaran, dan lompatan.

“Saya telah bertemu Presiden MA, Datuk Seri Shahidan dan kami bersetuju dengan pelantikan enam jurulatih ini, selari dengan pelan perancangan yang dikemukakan oleh MA kepada MSN,” kata Jefri dalam kenyataan media yang diedarkan.

Pengumuman rasmi senarai nama jurulatih tersebut bagaimanapun akan dibuat oleh MA dalam masa terdekat, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan kejurulatihan olahraga tanah air menjelang kejohanan utama akan datang.

Sebelum ini, Flash Sukan melaporkan MA mahu memiliki 22 jurulatih menjelang 2026 dalam usaha menggerakkan ekosistem olahraga kebangsaan menjelang Sukan Olimpik 2032.