Kredit Gambar: Filipe Amorim/AFP
Dunia MotoGP dikejutkan dengan pengumuman persaraan Marc Marquez apabila pelumba Sepanyol itu mengesahkan Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini bakal menjadi perlumbaan terakhirnya dalam Kejuaraan Dunia MotoGP.
Keputusan itu diumumkan Marquez hari ini, hanya seminggu selepas beliau mencipta sejarah dengan meraih gelaran dunia kelas premier kelapan di Portugal, sekali gus menyamai pencapaian legenda motosikal, Giacomo Agostini.
Pelumba berusia 33 tahun itu menyampaikan pengumuman berkenaan menerusi rakaman video di garaj pasukan di Valencia, sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya.
“Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Saya berharap anda menikmatinya seperti saya. Ini akan menjadi perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP. Kita sudah mencipta sejarah,” katanya.
Sepanjang kariernya, Marquez mengumpul lapan gelaran dunia kelas premier, termasuk enam kejuaraan ketika bersama Honda sebelum menyertai Ducati. Kejayaan terbaharunya di Portugal meletakkan beliau sebaris dengan Agostini dari segi jumlah gelaran dalam kategori utama.
Pengumuman mengejut itu turut mencetuskan suasana penuh emosi dalam kalangan anggota pasukan Ducati dan peminat yang berada di Litar Ricardo Tormo selepas mengetahui GP Valencia bakal menjadi penampilan terakhir pelumba itu.
Lebih mengejutkan, Marquez sebelum ini sudah menandatangani lanjutan kontrak bersama pengeluar Itali berkenaan sehingga 2028 pada Jun lalu, sekali gus menjadikan keputusan persaraan tersebut sesuatu yang tidak dijangka.
Ducati Lenovo Team turut mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan rasmi dengan menyatakan perlumbaan di Valencia pada 2026 akan menjadi penampilan terakhir Marquez sebagai pelumba profesional serta bersama pasukan berkenaan.
“Marc Marquez memutuskan untuk bersara daripada MotoGP dan GP Valencia 2026 akan menjadi perlumbaan terakhirnya sebagai pelumba profesional serta bersama Ducati Lenovo Team,” menurut kenyataan pasukan itu.
Dengan pengumuman berkenaan, perhatian kini terarah kepada GP Valencia yang bakal menjadi pentas terakhir buat Marquez menutup perjalanan kariernya dalam MotoGP selepas mencipta legasi menerusi lapan kejuaraan dunia kelas premier.