PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan, mengorak langkah besar dalam kerjayanya dengan menyertai kategori baharu, Pra-Moto3 ESBK yang dijadualkan bermula Mac ini.
Qabil meluahkan cita-cita serta sasarannya untuk tahun untuk musim perlumbaan yang bakal tiba.
“Tahun ini, kalau ada rezeki, saya akan cuba sasar podium, saya belum pasti kerana ini kategori baharu buat saya, jadi saya akan cuba yang terbaik nanti,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Qabil Irfan menghadiri Majlis Sesi Media untuk Malam Anugerah MAM 2024 di M Resort Hotel, Kuala Lumpur
Qabil turut berkongsi pengalamannya beraksi di Eropah sebelum ini, yang dianggapnya sebagai medan pembelajaran berharga.
Antara perkara yang dipelajarinya termasuk teknik dan keberanian pelumba Eropah, terutamanya ketika di selekoh akhir.
“Saya belajar dari tahun kedua di Eropah, saya lihat bagaimana mereka memotong di selekoh, dan saya cuba memperbaiki teknik saya untuk masa hadapan.
“Pelumba di sana lebih pantas dan berani mencuba sesuatu yang baharu, terutama di pusingan terakhir,” jelasnya.
Menurut Qabil, pelumba Eropah memiliki kemahiran luar biasa dalam aspek kelajuan dan teknik memotong selekoh, sesuatu yang berbeza jika dibandingkan dengan pelumba tempatan.
Tambahan lagi, musim ini akan menjadi cabaran besar buat Qabil kerana kategori pra-Moto3 adalah sesuatu yang baharu baginya.
Walaupun masih belum mengenali pesaing-pesaing dalam kategori ini, Qabil bertekad untuk memberikan yang terbaik.
“Ini kali pertama saya berlumba dalam ESBK Talent dan saya tak tahu lagi siapa pesaing saya.
“Tetapi apa pun saya akan cuba buat yang terbaik untuk musim yang akan datang ini nanti,” tambahnya.
Dengan pengalaman serta pendedahan sebelum ini, Qabil yakin dapat memberi saingan sengit dalam kategori baharu ini.
Walaupun penuh cabaran, pelumba muda berusia 13 tahun ini tidak gentar untuk mencipta kejayaan dan terus membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.
Dengan semangat juang yang membara serta cita-cita tinggi untuk menawan podium, Qabil Irfan Azlan terus menjadi tumpuan dalam usaha mencipta kejayaan gemilang di pentas perlumbaan musim baharu ini.