PASUKAN Harimau Malaya menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Walaupun berdepan pasukan tangga ke-72 ranking dunia yang memiliki kelebihan fizikal ketara, anak buah Peter Clamovski berjaya menyaingi rentak lawan terutamanya pada separuh masa kedua hasil asakan bertenaga dari sayap kanan.
Malaysia memulakan aksi dengan percubaan awal Gabriel Palmero seawal minit keempat, namun bola hanya melewati palang. Bagaimanapun, Cape Verde terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Sidny Lopes Cabral pada minit ke-8 selepas memanfaatkan ruang dalam kotak penalti.

Selepas itu, skuad negara menggandakan tekanan, terutama melalui gandingan Palmero dan Arif Aiman yang aktif merobek benteng lawan di sebelah kanan. Pada minit ke-18, Arif hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya diselamatkan kemas oleh penjaga gol, Josimar Dias.
Cape Verde terus memberikan tekanan menjelang tamat babak pertama, namun barisan pertahanan negara kekal bertahan dengan disiplin. Arif Aiman sekali lagi hampir menjaringkan gol pada minit ke-45, namun cubaan beliau dihalang pertahanan tinggi lampai, Yuran Fernandes, sebelum rembatan Safawi Rasid pada masa tambahan sekadar melewati tiang.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia tampil lebih garang dan tersusun. Serangan demi serangan dilancarkan dengan tempo tinggi, dan pada minit ke-68, Arif Aiman mencipta satu lagi peluang keemasan tetapi rembatan leretnya ditepis penjaga gol lawan.

Kemasukan Paulo Josue pada minit ke-78 nyata menjadi detik kebangkitan apabila beliau hanya mengambil satu minit untuk meledak gol penyamaan hasil gerakan pantas di kotak penalti. Tidak berhenti di situ, Malaysia terus menggandakan tekanan, dan Josue hampir menambah gol kedua namun dinafikan sekali lagi oleh Josimar.
Malaysia terus menggempur dalam enam minit masa tambahan, tetapi keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat, menutup perlawanan dengan semangat yang membakar menjelang aksi lebih penting akan datang.
PIX: FAM