MESKIPUN tersingkir awal di Terbuka Singapura, pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai tetap pulang dengan senyuman, berpuas hati dengan peningkatan prestasi berbanding di Malaysia Masters, minggu lalu.

Shevon mengakui mereka bermain sepenuh hati, namun lawan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran tampil lebih konsisten terutama pada mata-mata penting.

“Kami betul-betul berikan yang terbaik, kedua-dua pasangan menunjukkan potensi penuh, tapi beberapa kesilapan pada detik penting di set kedua menjadi titik tolak kekalahan kami,” kata Shevon kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sejurus tamat perlawanan.

Ujarnya, keletihan serta kecederaan ringan yang dialami Soon Huat menyukarkan mereka untuk mengembalikan momentum selepas set kedua, sekali gus memberi kelebihan kepada lawan.

Goh Soon Huat-Shevon Lai lega dapat bangkit dari prestasi minggu lalu.

“Minggu lalu agak mengecewakan sebab kami tak capai sasaran di Malaysia, tapi kami bangkit semula dan mula nampak hasilnya di sini… saya bangga dengan pasangan saya, dia banyak berkorban untuk pulih dan kekal kompetitif,” katanya.

Pada aksi suku akhir itu, Soon Huat-Shevon menang 21-19 di set pertama, sebelum tunduk dua set berikutnya 20-22, 17-21 dalam tempoh 64 minit.

Justeru, gandingan profesional negara ini mahi bangkit di Terbuka Indonesia minggu hadapan dengan menumpukan kepada konsistensi dan kepelbagaian dalam corak permainan memandangkan pencabar kini tampil dengan strategi lebih agresif.

“Setiap pasangan kini semakin kuat, jadi kami perlu ada lebih banyak pilihan taktikal dan stabilkan permainan seperti di awal musim,” katanya yang turut mengakui saingan kini lebih sengit kerana kedudukan ranking mereka semakin tinggi.