PEMILIHAN pucuk pimpinan tertinggi Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) semakin “panas” apabila dua calon, iaitu penyandang, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dan bekas Ketua Pengarah Majis Sukan Negara (SN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berbalas “serangan”.
Selepas Megat membuat kenyataan bahawa beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Shapawi dan Pengarah Bahagian Para MSN, Mohd Sofian Hamzah, yang didakwa menimbulkan elemen rasuah dan melanggar tata etika pemilihan Ahli Jawatankuasa dan amalan yang tidak sihat, ia mengundang satu kejutan.
Menurut Shapawi, beliau terkejut dengan dakwaan itu apabila dikaitkan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Terus terang, saya sendiri tidak faham apakah asas aduan atau tuduhan tersebut, tapi mungkin saya boleh bantu beliau untuk memperjelas bahawa tuduhan terhadap saya dan Sofian memberi rasuah kepada BAM, disebabkan saya dilantik dalam salah satu jawatankuasa persatuan tersebut dan selepas mereka mencalonkan saya bertanding melawan beliau esok.
“Sekiranya itulah asas pertuduhan, saya bersedia disiasat SPRM, Cuma saya tidak pasti apakah yang telah saya berikan kepada BAM sehingga wujudnya dakwaan itu.
“Saya bukannya ada apa-apa kecuali tiga buah nangka dari kebun belakang rumah yang mampu berkongsi makan dengan kawan-kawan BAM.
“Sejujurnya, saya menafikan sebarang perlakuan negatif dalam isu pencalonan saya untuk bertanding jawatan Presiden MPM.
“Tarikh tutup pencalonan pada 30 November, tetapi kenapa sekarang sehari sebelum pemilihan, beliau membuat aduan sebegitu,” kata Shapawi, yang mengandaikan bahawa Megat cuba melengahkan untuk mengemuka senarai pencalonan dan menyifatkannya sebagai tindakan pengecut.
Shapawi menimbulkan persoalan, mengapa tidak boleh bersaing secara sihat dalam badan bukan kerajaan seperti MPM dan mendakwa Megat cuba menakut-nakutkan pihak yang mahu melakukan perubahan dalam badan induk sukan para itu.
“Atau beliau sengaja mahu memburukkan saya dengan dakwaan yang tidak berasas dan dilakukan pada saat-saat akhir bagi menyukarkan situasi saya.
“Saya bersedia dan terbuka tetapi sekiranya siasatan SPRM tidak mempunyai sebarang sabitan, saya akan melakukan tindakan yang sama dengan mendakwa beliau memburuk-burukkan saya secara terbuka seperti ini.
“Saya yakin SPRM lebih mengetahui dengan dakwaan seperti ini,” ujarnya.
Dalam isu berkaitan, Shapawi berkata, Megat melakukan tindakan sama pada pemilihan kepimpinan MPM pada 2019, dengan melakukan tohmahan dan tuduhan terbuka melalui media sosial terhadap calon yang sepatutnya bersaing dan membawa kes ke mahkamah.
“Keputusan mahkamah tidak memihak beliau. Namun ia menyebabkan calon lawan enggan meneruskan persaingan sehingga beliau (Megat) menang tanpa bertanding.
“Mungkin ini yang cuba dilakukannya terhadap saya… namun kami akan tetap meneruskan cabaran demi menyelamatkan MPM dari karakter seperti ini,” tegasnya.
Pemilihan pucuk pimpinan MPM dijangka berlangsung pagi esok pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 MPM di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan pagi esok, manakala satu sidang media akan dibuat pada jam 12.30 tengahari.