TAKTIKAL bertahan yang digunakan Kuala Lumpur City FC tidak berjaya mengekang jentera serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2024-2025.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, tuan rumah dilihat lebih banyak bertahan dengan menyerap asakan demi asakan namun tidak mampu mengelak dari dibocori empat pemain hadapan Harimau Selatan – Bergson Da Silva, Heberty Fernandes, Jorge Obregon dan Arif Aiman Hanapi.
Namun begitu, jaringan lewat Brendan Gan pada minit ke-89 memastikan KL City masih bernyawa dalam pertandingan ini yang menyaksikan JDT membawa kelebihan tipis ke Iskandar Puteri untuk perlawanan timbal balik minggu hadapan.
Bergson Da Silva meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-33 menerusi rembatan dari dalam kotak penalti untuk menghampakan pertahanan KL City yang bertahan baik sepanjang babak pertama.
Corak permainan yang sama ditunjukkan pemain JDT di babak kedua dengan melancarkan serangan untuk mencari gol kedua bagi mengukuhkan keadaan di laman lawan namun kekentalan pertahanan KL City menghampakan usaha itu.
Namun tindakan bijak Bergson pada minit ke-79 melepaskan Heberty Fernandes untuk menolak masuk gol kedua JDT menewaskan Azri Ghani yang dilihat sudah mencukupi sebagai bekalan aggregat.
Brendan Gan bagaimanapun memastikan peluang KL City masih terbuka apabila sepakan ‘first timer’ nya hasil sepakan sudut Zhafri Yahya pada penghujung babak kedua menewaskan Syihan Hazmi untuk merapatkan kedudukan.
Kedudukan 1-2 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT membawa bekalan tipis ke Iskandar Puteri yang menjanjikan pertembungan suku akhir kedua yang menarik di Stadium Sultan Ibrahim.