PENGENDALI Selangor TOT United, Patt Sriwijit berpuas hati terhadap prestasi pasukan kendaliannya setelah berjaya menundukkan Pahang Rangers 5-4 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.

Jelasnya, dia turut gembira kerana pemain baharunya, Guntur Sulistyo berjaya menyumbang dua gol yang membantu pasukan Selangor menewaskan juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Pahang Rangers FC.

“Saya berpuas hati dengan prestasi Guntur Sulistyo kerana dia memainkan peranan yang sangat penting dalam pasukan.

“Saya tidak mahu menukar apa-apa kerana dia bermain dengan sangat baik bersama rakan sepasukan,” jelasnya ketika ditemui media selepas aksi suku akhir pertama Malaysia Futsal Cup Selangor TOT United berdepan Pahang Rangers FC di Stadium Panasonic Shah Alam.

Biarpun tewas kepada Pahang pada aksi separuh akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) sebelum ini, namun pengendali berasal dari Thailand itu kini yakin kemampuan pasukannya untuk menundukkan Pahang Rangers pada aksi timbal balik pada Rabu.

“Sebelum ini kita tewas kepada Pahang dalam separuh akhir Liga Premier Futsal. Sekarang saya lihat kita mahu membalas dendam kepada mereka tetapi ianya bukan mudah dan kita harus bekerja keras,” katanya.

Menjelang aksi timbal balik di Stadium Sukpar, dia yakin skuad kendaliannya mampu meneruskan momentum kemenangan dan mengekalkan rentak permainan sebelum ini.

Enggan mengambil kira taktikal yang bakal digunakan lawan, Sriwijit ingin pemain kekal fokus dan bermain dengan disiplin dan taktikal yang direncanakannya.

“Kita ada satu lagi perlawanan. Kita perlu teruskan momentum ini dan mahukan kemenangan. Kita akan bermain secara normal.

“Kita akan sentiasa fokus terhadap pasukan kita dan tidak kisah tentang taktikal pasukan lawan,” ujarnya.