MALAYSIAN Football League (MFL) dan LaLiga buat kali pertama telah menganjurkan bengkel kejurulatihan akademi dengan pengelola liga Sepanyol itu telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada 22 orang jurulatih akademi dari Liga Malaysia.
Jurulatih-jurulatih ini telah menghadiri satu sesi khas yang dibahagikan kepada dua skop pembelajaran, iaitu metodologi dan alat intervensi, di mana ianya menjadi teras metodologi LaLiga sendiri
Sejak tahun 2015, LaLiga telah menganjurkan lebih daripada 830 projek sukan antarabangsa di 57 buah negara, di mana lebih daripada 240,000 pemain telah dilatih dan memberikan tumpuan khas kepada pembangunan bola sepak belia di Malaysia menerusi akademinya di EPSON College.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi teruja dengan kerjasama ini yang terjalin sejak tahun 2008 dan percaya modul yang digunakan LaLiga bakal memberikan manfaat kepada semua yang mengikuti bengkel ini.
“Hubungan kerjasama MFL dan LaLiga sudah lama terjalin sejak 2018 di mana pelbagai aktiviti telah diadakan bersama khususnya dalam perkongsian kepakaran dalam bidang pengurusan bola sepak sebelum ini.
“Saya percaya, bengkel pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi melibatkan jurulatih-jurulatih akademi Liga Malaysia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi ini malah ia bakal memberikan manfaat kepada peserta yang hadir.

“Ini kerana kepakaran dan pengalaman yang dimiliki LaLiga dalam membangunkan pemain-pemain muda khususnya dalam menggunakan teknologi dan kaedah terbaru bola sepak moden sudah terbukti dengan pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa.
“Jadi adalah sesuatu yang baik buat jurulatih tempatan untuk menimba sedikit sebanyak ilmu daripada jurulatih dari LaLiga dalam bengkel ini” katanya.
Bola sepak Sepanyol menunjukkan kejayaan hebat pada tahun ini dengan menjuarai Euro 2024 dan memenangi pingat emas bola sepak lelaki di Sukan Olimpik selain pelbagai kejuaraan yang dimenangi oleh pasukan wanita.