PASUKAN Selangor FC mengimbau kembali era kegemilangannya apabila kembali menjalinkan kerjasama dengan jenama sukan terkemuka dunia, adidas yang diumumkan sebagai Rakan Kit Rasmi kelab bagi menghadapi musim Liga Malaysia 2026/2027.
Penyatuan semula itu menghidupkan kembali kerjasama ikonik yang pernah mewarnai sejarah The Red Giants sekitar era 1970-an, 1980-an dan sekali lagi pada 2010, ketika adidas membekalkan jersi utama serta kit ketiga buat gergasi Lembah Klang itu.
Menurut kenyataan rasmi, kerjasama berkenaan bukan sekadar membabitkan penajaan kit, malah melambangkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan legasi berteraskan prestasi, kebanggaan dan pembangunan bola sepak.
Selangor FC dan adidas turut berkongsi aspirasi untuk mengukuhkan lagi jenama Red Giants di dalam serta luar padang, selain menginspirasikan generasi baharu pemain dan penyokong.
Kerjasama terdahulu menyaksikan kedua-dua jenama mencipta pelbagai detik bersejarah dalam bola sepak tempatan, sekali gus memperkukuhkan semangat “Mentaliti Juara” yang menjadi identiti kelab.
Sebagai simbol permulaan era baharu, Selangor FC dan adidas akan melancarkan kit rasmi ‘Home’ dan ‘Away’ musim 2026/2027 pada 20 Ogos depan, dengan rekaan yang mengangkat sejarah serta legasi gemilang kelab sambil membawa aspirasi untuk terus mencipta kejayaan.