SERAMAI 28 daripada 30 pengadil muda yang sedang menyertai Akademi Pengadil Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah dipilih untuk mengikuti latihan Pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) Batch Ke-2 bagi membolehkan mereka memperoleh Lesen VAR.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, perkembangan tersebut sesuatu yang cukup positif dalam usaha FAM menambah lagi bilangan pengadil yang memiliki Lesen VAR bagi menampung keperluan untuk mengadili perlawanan-perlawanan Liga Malaysia.

“Akademi Pengadil Profesional ini adalah projek FAM yang bermatlamat untuk melahirkan lebih ramai pengadil yang berpotensi untuk mengadili liga tertinggi negara iaitu Liga Super Malaysia.

Datuk S.Sivasundaram memberikan taklimat kepada pelatih Akademi Pengadil Profesional FAM

“Jadi seramai 28 pengadil dalam akademi ini telah pun dipilih untuk mengikuti latihan Pengadil VAR bagi Batch Ke-2 tersebut yang mana rata-rata purata umur mereka adalah dalam lingkungan usia 28 tahun.

“Pemilihan pengadil-pengadil muda dan berpotensi ini adalah berpandukan prestasi ketika perlawanan dan semasa menghadiri kursus Akademi Pengadil Profesional,” katanya.

FAM juga berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pengadil cemerlang seperti Pengadil FIFA, Nazmi Nasaruddin yang berada dalam senarai calon untuk bertugas pada Piala Dunia 2026.

Nazmi Nasaruddin antara pengadil elit Fifa ketika ini

“FAM berharap Projek Akademi Pengadil Profesional ini akan mampu melahirkan lebih ramai pengadil yang berteraskan ‘Thinking Referee’ dan memahami ‘Modern Football’,” jelasnya.

Modul Ke-6 Akademi Pengadil Profesional FAM 2023-2025 telah berlangsung selama lima hari dari 25 hingga 29 November 2024 di Petaling Jaya dengan lebih memberi tumpuan kepada perlawanan praktikal dan trend ini akan diteruskan sehinggalah modul ke-9.