ATLET boling padang negara dan UiTM, Aleena Nawawi bersyukur di atas penghargaan yang diterimanya selepas memenangi pingat emas dalam acara beregu wanita di Karnival Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, September lalu. 

Dalam majlis penyerahan insentif kemenangan di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, Aleena, 25, memberitahu bahawa pengiktirafan berupa insentif wang tunai RM850 daripada UiTM adalah satu motivasi besar buatnya.

“Rasa gembira dan berbaloi. Bila kita menang, UiTM hargai dengan beri hadiah wang tunai, siapa yang tak nak? Saya rasa sangat puas hati,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Namun, perjalanan Aleena di SUKIPT 2024 bukan tanpa cabaran. Dia mengakui kesukaran menyesuaikan diri dengan padang di Arau disebabkan kurangnya latihan di venue tersebut, selain perlu bergegas pulang ke Shah Alam untuk menerima Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N).

 “Saya tak boleh nak adapt sangat dengan padang tu waktu game, dan itu salah satu cabaran terbesar yang saya hadapi sepanjang SUKIPT tahun ini,” jelasnya.

Meskipun ini adalah penampilan terakhir Aleena di SUKIPT memandangkan Aleena akan menamatkan pengajian sarjana muda, penghargaan yang diterimanya mendorongnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana. 

“Mungkin dengan adanya insentif ini, saya akan sambung belajar untuk master. Jadi, saya boleh wakil UiTM lagi untuk SUKIPT akan datang,” tambahnya.

Aleena Nawawi ketika ditemu ramah eksklusif bersama Flash Sukan selepas majlis penyerahan insentif kemenangan di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam pada Khamis.

Beralih kepada perancangan masa depan, Aleena kini menumpukan sasaran seterusnya pada Kejohanan Boling Padang Asia di Filipina pada April tahun hadapan.

 “Kalau saya terpilih mewakili negara, itu adalah sasaran terdekat saya,” ujarnya dengan penuh azam.

Kejayaan Aleena di SUKIPT 2024 bukan sahaja menyerlahkan kehebatannya sebagai atlet tetapi turut menunjukkan komitmennya untuk terus mengharumkan nama UiTM dan negara di pentas antarabangsa.