MALAYSIAN Football League (MFL) mengumumkan pindaan kepada Manual Liga Malaysia 2024-2025, yang membenarkan kelab-kelab Liga Super yang bertanding dalam kejohanan peringkat kelab anjuran AFC dan AFF untuk mendaftar sehingga 12 pemain import, berbanding kuota asal 10 pemain.

Keputusan ini telah mendapat persetujuan majoriti Rakan Kongsi Liga dan diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL.

Namun begitu, kuota tambahan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain tempatan untuk beraksi kerana dua pemain asing tambahan tersebut hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL sahaja. Peraturan pendaftaran pemain asing dalam Team List bagi saingan Liga Malaysia 2024-2025 masih kekal seperti sebelum ini.

Pindaan ini dicadangkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024-2025, dan telah dipersetujui oleh pemegang taruh MFL. Kelab-kelab yang layak untuk kejohanan antarabangsa seperti AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2), dan AFF Club Championship kini boleh mendaftar 12 pemain asing untuk meningkatkan persaingan mereka di pentas antarabangsa.

Antara kelab yang terlibat di kejohanan AFC dan AFF adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC, dan Kuala Lumpur City FC.

Penambahan kuota ini adalah respons kepada peraturan terbaharu yang diperkenalkan oleh AFC, di mana tiada had bagi pendaftaran pemain import dalam kejohanan kelab di bawah badan induk tersebut. Dengan pindaan ini, kelab-kelab yang terlibat akan mempunyai komposisi 34 pemain, yang terdiri daripada 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.

Walaupun ada perubahan untuk kelab yang terlibat dalam kejohanan AFC dan AFF, peraturan bagi pertandingan domestik seperti Liga Super, Piala Malaysia, dan MFL Challenge Cup kekal tidak berubah. Setiap pasukan hanya boleh mendaftarkan 7 pemain asing (6+1) dalam Team List untuk pertandingan ini.

Bagi saingan Piala MFL 2024-2025 pula, peraturan untuk pendaftaran pemain masih kekal iaitu maksimum 5 pemain tempatan melebihi usia 23 tahun dan 3 pemain asing di dalam Team List, dengan maksimum dua pemain asing dibenarkan beraksi di atas padang dalam satu-satu masa. Ini bagi memastikan pemain tempatan bawah 23 tahun masih diberi peluang untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.

Bagi kelab-kelab yang tidak terlibat dalam kejohanan peringkat kelab AFC dan AFF, peraturan sedia ada dikekalkan, di mana mereka hanya boleh mendaftar maksimum 9 pemain import sahaja.

Dengan pindaan ini, MFL berharap kelab-kelab yang membawa cabaran negara di pentas antarabangsa akan dapat membuat persiapan lebih rapi dan bersaing dengan lebih kompetitif, sekaligus membantu menyumbang mata kepada ranking kelab AFC serta memastikan slot kelab Malaysia pada musim akan datang terjamin.