KELAB gergasi Jerman, Bayern Munich memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kemenangan bergaya apabila membelasah Dinamo Zagreb 9-2 dalam aksi pembukaan kumpulan di Allianz Arena, awal pagi tadi.
Walaupun menang dengan jumlah jaringan yang luar biasa, jurulatih Bayern, Vincent Kompany, menekankan bahawa ia tetap hanya tiga mata dan fokus kini beralih kepada perlawanan seterusnya.
Kompany, yang baru mengambil alih tugas sebagai jurulatih Bayern pada musim ini, mencatat kemenangan sulung dalam debut Liga Juara-Juara sebagai jurulatih dengan penyerang sensasi mereka, Harry Kane, menjaringkan empat gol.
Ini merupakan rekod jumlah gol terbanyak oleh satu pasukan dalam sejarah pertandingan UCL dan margin kemenangan kedua terbesar dalam kejohanan tersebut.
“Ia tentang tiga mata,” kata Kompany dalam sidang media selepas perlawanan.
“Sembilan gol adalah sesuatu yang jarang berlaku, tetapi ia sangat menyeronokkan. Tenaga pasukan sangat baik dan mereka menunjukkan semangat yang betul.”katanya.
Walaupun kemenangan besar itu menjadi perhatian utama, Kompany masih mengingatkan bahawa Bayern hanya baru bermain satu perlawanan.
“Kita baru sahaja bermain satu perlawanan, dan sekarang ini tentang perlawanan seterusnya. Kami perlu teruskan momentum ini,” tambahnya.
Bayern mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, namun kegembiraan sedikit terganggu apabila Dinamo Zagreb berjaya menjaringkan dua gol dalam masa dua minit sejurus separuh masa kedua bermula. Kompany turut menegur kekurangan fokus anak buahnya dalam detik tersebut.
“Kami menjaringkan sembilan gol, tetapi kami juga melepaskan dua gol. Kami membiarkan gol-gol tersebut berlaku kerana kami lambat membuat keputusan. Namun begitu, pasukan kekal tenang dan akhirnya menikmati malam yang baik,” jelas jurulatih berasal dari Belgium itu.
Harry Kane, yang turut mencipta rekod dengan 33 gol sebagai pemain Inggeris dalam Liga Juara-Juara, juga mendapat pujian daripada Kompany. Kane baru sahaja mencipta hatrik ketika bertemu Holstein Kiel dalam aksi Bundesliga Sabtu lalu.
“Dia sangat bermotivasi, dan sebagai jurulatih, ia lebih mudah bagi saya. Jika anda mempunyai pemain bertaraf dunia yang mempunyai motivasi sendiri, ia menjadikan tugas lebih mudah.
“Dia seorang pemimpin, kapten pasukan kebangsaan. Pemain seperti dia tahu mereka perlu tampil pada saat-saat penting, dan itulah yang sedang dia lakukan,” kata Kompany.
Kemenangan besar ini pasti memberikan keyakinan besar buat Bayern Munich, namun Kompany tetap mengingatkan pasukannya supaya tidak terlalu selesa dan perlu memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya dalam usaha memburu gelaran Liga Juara-Juara musim ini.