Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan perlumbaan di Grand Prix Brazil dari petak ketiga.
Dalam sesi kelayakan Q2 di litar Autodromo Internacional de Goiania, Hakim Danish merakam 1 minit 26.448 saat untuk muncul ketiga terpantas.
Pelumba LevelUp MTA dari Sepanyol, Joel Esteban akan bermula dari petak utama selepas merakam pusingan terpantas 1:26.241, diikuti pelumba Red Bull KTM Tech3 dari Argentina, Valentin Perrone (1:26.447).
Ini adalah penampilan sulung Hakim Danish di litar berkenaan bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi.
Selepas menamatkan aksi pembukaan musim di GP Thailand di kedudukan ke-18 keseluruhan, Hakim Danish bertekad tampil lebih cemerlang di Brazil.
Permulaan barisan hadapan kali ini akan membuka peluang buat pelumba kelahiran Terengganu itu untuk melakar kejutan. – BERNAMA