Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mencuri tumpuan apabila membantu kuartet Universiti Auburn meraih pingat emas acara 4×100 meter pada Kejohanan Jemputan Yellow Jacket di Atlanta, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Azeem yang bergandingan bersama Alejandro Cardenas, Ian Myers dan Tyler Davis mempamerkan larian mantap untuk mencatat masa 39.75 saat (s) sekali gus muncul juara acara tersebut.

Tempat kedua menjadi milik kuartet Universiti Lipscomb yang dibarisi Emery Eckert, Joel Nimoh, Wessel Vandernest dan Justin Davis selepas mencatat masa 41.93s.

Tiada pemenang tempat ketiga direkodkan apabila beberapa pasukan lain gagal menamatkan perlumbaan (DNF) selain ada yang tidak memulakan saingan (DNS).

Kejayaan itu turut melengkapkan pencapaian cemerlang Azeem di kejohanan tersebut selepas sebelum ini meraih pingat perak dalam acara 100m.

Prestasi konsisten yang dipamerkan atlet berusia 20 tahun itu memberi petanda positif menjelang kejohanan utama akan datang, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelari pecut terbaik negara.