HARAPAN Malaysia untuk beraksi dalam acara bola sepak Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya tidak kesampaian selepas Majlis Olimpik Asia (OCA) menafikan laporan bahawa syarat penyertaan telah dilonggarkan.

Memetik laporan daripada NST, spekulasi sebelum ini timbul susulan dakwaan di media sosial yang menyatakan kejohanan bola sepak lelaki dan wanita yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober itu akan dibuka kepada kesemua 45 negara gabungan di Asia.

Bagaimanapun, OCA menjelaskan tiada sebarang perubahan dibuat terhadap format kelayakan dengan kuota kekal terhad kepada hanya 16 pasukan bagi kedua-dua kategori.

Menurut badan itu, struktur penyertaan masih berpandukan perjanjian yang dimeterai bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini.

“Kuota 16 pasukan bagi kedua-dua pertandingan telah dimuktamadkan menerusi Memorandum Persefahaman antara AFC dan OCA pada 13 Disember 2024 bagi tempoh 2024 hingga 2028,” menurut kenyataan itu.

Penjelasan tersebut sekali gus menutup ruang buat Malaysia untuk mendapat peluang terakhir beraksi di Jepun.

Malaysia sebelum ini sudah tersingkir daripada kelayakan selepas pelaksanaan sistem kelayakan baharu yang mengaitkan penyertaan Sukan Asia dengan keputusan dalam kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2026.

Di bawah sistem berasaskan prestasi itu, hanya pasukan yang layak ke Piala Asia Bawah 23 Tahun 2026 di Arab Saudi diberikan slot ke Sukan Asia 2026.

Beberapa pencabar serantau seperti Vietnam dan Thailand sudah mengesahkan tempat selepas berjaya melepasi kelayakan tersebut, sekali gus menutup peluang Malaysia.

Ketiadaan Malaysia di temasya kali ini juga berpunca daripada keputusan skuad bawah 23 tahun negara yang tidak menyertai Sukan Asia 2023 di Hangzhou bagi memberi tumpuan kepada kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia sejak bola sepak Sukan Asia menggunakan format bawah 23 tahun pada 2003 adalah mara ke pusingan 16 terbaik pada edisi 2018 di Indonesia sebelum tewas 0-1 kepada Jepun yang kemudian muncul juara.