PELUMBA Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia memenangi perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia selepas bertarung sengit bersama pencabar utama, Jorge Martin di Litar Antarabangsa Sepang Petronas.
Dalam perlumbaan 19 pusingan yang terjejas dengan kemalangan pada pusingan pertama, Bagnaia dan Martin mempamerkan tunggangan luar biasa yang mencemaskan puluhan ribu penyokong yang hadir dan Bagnaia berjaya mengheret kejuaraan hingga ke Grand Prix terakhir dua minggu lagi.
Bagnaia, juara bertahan dan juga juara dunia dua kali menamatkan perlumbaan dengan kelebihan tiga saat dan kini memiliki 10 kemenangan musim ini tetapi berada di tempat kedua senarai pelumba dengan ketinggalan 24 mata di belakang Martin.
Dia yang ditemui selepas perlumbaan mengakui selesa dengan kepantasan jenteranya pada Ahad dan gembira dengan kemenangan ini selain mahu mencari punca masalah yang sering dihadapi ketika perlumbaan Sprint pada Sabtu.
“Menangani cuaca panas bukan perkara paling sukar hari ini. Jorge sangat agresif dari awal perlumbaan untuk memastikan saya dibelakangnya tetapi saya dapat mengawal kelajuan serta seperti kebiasaan perlumbaan pada Ahad saya boleh menyerang dan lebih agresif.
“Ianya kemenangan kesepuluh saya musim ini dan pasukan melakukan tugas dengan baik dan kami perlu perbaiki beberapa perkara terutama perlumbaan Sprint pada Sabtu,” katanya.
Martin juga menerima keputusan ini dan gembira kerana masih mempunyai kelebihan mata selepas mengelak daripada melakukan kesilapan sepanjang minggu di Sepang.
“Terima kasih kepada Pecco kerana menjadikan saingan ini lebih menarik. Semestinya saya mahu menang dan mendahului tetapi saya faham keadaan perlumbaan walaupun kami berdua sangat agresif di permulaan.
“Saya cuba letakkan tekanan pada penghujung perlumbaan tetapi hampir terjatuh dan saya putuskan untuk bertenang dan berpuas hati dengan kelebihan lapan mata dari Grand Prix ini,” jelasnya.
Kemenangan ini menyaksikan Bagnaia kini ketinggalan 24 mata dengan 37 mata berbaki pada perlumbaan terakhir yang masih belum ditentukan venuenya selepas Grand Prix Valencia dibatalkan ekoran banjir besar yang melanda wilayah itu.