JUARA bertahan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL), Pahang Rangers nyaris menerima kekalahan pertama sebelum bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Shah Alam City 6-6 dalam aksi pembukaan MPFL 2024.
Pahang Rangers ketinggalan 4-6 pada satu ketika sebelum melakukan taktikal ‘power play’ pada lima minit terakhir untuk menyamakan kedudukan dan berjaya membawa pulang satu mata ke Kuantan.
Pengendalinya, Gerard Casas nyata kurang berpuas hati dengan keputusan ini namun dia lega kerana berjaya membawa pulang satu mata dan sekali lagi membuktikan kepakaran pasukannya dalam taktikal ‘power play’.

Pengendali Pahang Rangers, Gerard Casas
“Ianya bukan satu keputusan yang tidak baik kerana Shah Alam City adalah satu pasukan yang baik. Mental kami sedikit lemah pada babak pertama tetapi kami bangkit pada babak kedua dan menguasai perlawanan sejak dari awal.
“Saya percaya dengan perlawanan ‘power play’ kami meskipun dihukum pada awalnya. Saya mahukan kemenangan dan saya sedar akan risiko melakukan taktikal ini kerana ia mungkin memberikan kami gol penyamaan dan pada masa sama boleh menghukum kami,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu ketua jurulatih Shah Alam City, Muizzudin Haris pula memuji persembahan anak-anak buahnya yang berjaya mempamerkan aksi memukau sekaligus memberikan amaran tentang cabaran yang bakal diberikan pasukannya dalam MPFL musim ini.

Pengendali Shah Alam City, Muizzudin Haris
“Saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pemain-pemain yang berjaya mengikuti arahan walaupun sedikit gugup pada awal permainan sebelum bangkit dan pemain import kami banyak membantu pasukan dalam aksi kali ini,” katanya.
Gol-gol Pahang Rangers dijaringkan oleh Felipe De Souza dengan satu gol, Murilo Saad dua gol dan Harith Naim menjaringkan hatrik sementara gol-gol Shah Alam City dijaringkan Zainal Hamzah dan Farhan Anuar dengan dua gol manakala masing-masing satu menerusi Razin Rahim dan Isaias Filho.
Sementara itu dalam dua lagi perlawanan, Johor Darul Ta’zim tidak berdepan masalah untuk menewaskan Gombak TOT United 6-1 di Shah Alam sementara Terengganu pula mengejutkan Kuala Lumpur City juga dengan keputusan 6-1 di Kuala Terengganu.