JURULATIH skuad Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia enggan meletakkan sebarang tekanan kepada pemainnya menjelang perlawanan akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) sebaliknya mahu pemainnya beraksi dengan ketenangan.
Tambahnya, dia menganggap perlawanan esok akan bermula dengan 0-0 kerana ingin memberi suntikan moral tanpa menjejaskan persiapan mental pasukan berdepan Pahang Rangers FC pada Isnin.
“Kita akan bermula tanpa stres. Katakan anda stres, sudah pasti kesilapan akan berlaku. Tumpuan dan jangan lakukan kesilapan tetapi ini adalah futsal. Yang penting, raikan perlawanan esok.
“Sebagai jurulatih, saya yakin dengan pemain dan pasukan. Dalam futsal, segalanya boleh berlaku. Kalah atau menang mampu berlaku. Keyakinan saya sangat besar.
“Persiapan sama seperti sebelum ini. Keputusan ini pada saya masih 0-0. Ia bukan 7-3. Saya tidak anggap sebegitu kerana ini adalah perlawanan final. Kita anggap kita baru ingin bermula dan bermain sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN sebelum sesi latihan pasukan Johor Darul Ta’zim di Stadium Tertutup Pasir Gudang.
ARTIKEL BERKAITAN : Juan Antonio yakin kemampuan futsal JDT untuk layak ke final
Dalam pada itu, Antonio menyeru sorakan penyokong menjelang perlawanan akhir pada Isnin kerana menyedari kelebihan bermain di laman sendiri.
“Tentunya lah penyokong sangat penting. Stadium juga sangat penting. Sudah pasti esok stadium akan penuh dengan sorakan penonton, pastinya kita akan mempamerkan aksi baik,” ujarnya.