NEGERI Sembilan FC (NSFC) mengesahkan bahawa pihaknya tidak menyambung kontrak ketua jurulatih, K. Devan menjelang saingan Liga Malaysia 2024/2025.
Kelab berkenaan dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman media rasmi Instagram NSFC mengucapkan tanda penghargaan kepada K. Devan atas segala jaga keringat beliau bersama Sang Rusa.
“Terima kasih kami ucapkan kepada Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC bagi musim 2023, K.Devan. Beliau tidak akan bersama pasukan untuk musim 2024/2025.
“Devan bukanlah asing bagi skuad Hobin Jang Hobin dan selaku anak negeri, beliau kembali memimpin pasukan pada musim 2021 serta berjaya membawa Negeri Sembilan kembali ke saingan Liga Super secara merit setelah muncul sebagai juara Liga Perdana musim berkenaan.
“Dalam saingan Liga Super pula, Devan berjaya memimpin pasukan menduduki tangga keempat liga musim 2022 dan tangga kesembilan musim lalu,” kata NSFC dalam kenyataan tersebut.
Jurulatih kelahiran Bahau itu pernah melatih Negeri Sembilan sebelum ini iaitu pada tahun 2015 dan pada 2021 sehingga musim 2023.
Hasil bimbingan beliau, Negeri Sembilan berjaya menjuarai Liga Perdana pada musim 2021 sekali gus meraih tiket untuk ke Liga Super 2022, dan pada musim tersebut skuad Jang cemerlang menamatkan saingan liga di tempat keempat.
Sementara itu, ketiadaannya bersama Skuad Jang sekali gus tidak memberi sebarang bayangan tentang hala tuju K. Devan pada musim hadapan malah kekosongan posisi yang ditinggalkan juga masih belum terisi.
Untuk rekod, K.Devan sebelum ini pernah mengendali beberapa pasukan seperti Selangor, Kelantan dan PJ City sekali gus membuktikan lagi kehebatannya sebagai seorang jurulatih berpengalaman.