KETUA jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan, meluahkan rasa puas hati dengan prestasi pemain-pemainnya meskipun tewas tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi ke-19 Liga super 2024-2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Sabtu.
Kekalahan itu hadir dalam perlawanan sengit yang menyaksikan skuad Penyu mempamerkan disiplin tinggi di sepanjang 90 minit permainan.
“Secara peribadi, saya memuji pemain-pemain saya, sama ada pada separuh masa pertama mahupun kedua. Mereka bermain dengan disiplin yang tinggi dan mengikut arahan serta perancangan kami.
“Walaupun tewas, saya berpuas hati dengan usaha mereka,” kata Badrul dalam sidang media selepas perlawanan.
Terengganu FC mencipta beberapa peluang emas, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan. Kegagalan penyudah jelas menjadi kekecewaan utama buat Badrul.
“Sudah tentu, penyudah kami menjadi isu. Melawan pasukan seperti JDT, kita tidak boleh melepaskan peluang begitu sahaja.
“Dalam separuh masa pertama, kami ada dua peluang gol yang jelas, begitu juga di separuh masa kedua. Ini adalah perkara yang kita perlu perbaiki dengan segera,” tambahnya.
Ketika ditanya sama ada Terengganu FC layak untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata berdasarkan corak permainan malam itu, Badrul bersetuju namun akur dengan keputusan perlawanan.
“Ya, saya setuju. Paling tidak, satu mata adalah apa yang kami sasarkan.
“Tapi sayangnya, walaupun pemain sudah memberikan segalanya, kita tetap gagal mencapai matlamat itu,” katanya.
Dengan jadual padat, termasuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang JDT minggu depan dan perlawanan Shopee Cup di Bangkok bertemu BG Pathum, Badrul menegaskan keutamaan adalah memberikan rehat secukupnya kepada para pemain.
“Kami melalui jadual perlawanan yang sangat tinggi intensiti, bertemu pasukan seperti PSM Makassar, JDT, dan kini BG Pathum.
“Jadi, keutamaan kami adalah memastikan pemain cukup rehat dan bersedia, terutama untuk perlawanan separuh akhir Piala Malaysia minggu depan,” jelasnya.
Dengan jadual getir yang menanti, Terengganu FC kini bersedia untuk dua perlawanan penting yang bakal menjadi penentu musim mereka.
Pada 1 Februari, skuad Penyu akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tidak cukup dengan itu, cabaran besar seterusnya menanti pada 5 Februari apabila mereka bertemu BG Pathum dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Shopee Cup 2024/25 di Bangkok.
Hanya kemenangan yang dapat memastikan Terengganu melangkah ke separuh akhir kejohanan, sekali gus mencipta sejarah di pentas Asia.
Meskipun tekanan semakin meningkat, keyakinan terhadap kemampuan pemain-pemain dan bimbingan Badrul Afzan tetap menjadi nadi kepada perjuangan Terengganu FC.
Kini, seluruh penyokong setia skuad Penyu pastinya mengharapkan dua keputusan positif yang mampu menyalakan sinar harapan kejuaraan musim ini.